Wednesday 4 September 2013

Sejarah Perjuangan Parti USNO 1967 - 1991

Nama melayu bagi parti U.S.N.O ialah Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu. Ia adalah singkatan daripada bahasa Inggeris iaitu United Sabah National Organization (USNO).



USNO merupakan parti politik yang berpengkalan di negeri Sabah, Malaysia. Ditubuhkan oleh pemimpin ulung zamannya, Tun Datu Mustapha Datu Harun, iaitu Ketua Menteri ketiga Sabah. Parti ini telah mampu memerintah selepas memenangi pilihanraya negeri yang diadakan pada tahun 1967. Di bawah pimpinan Tun Mustapha,USNO kekal berkuasa sehingga pada tahun 1975 dan sehingga setahun kemudian iaitu pada tahun 1976 ia dipimpin oleh Mohamed Said Bin Keruak (kemudian bergelar Tun).

USNO merupakan entiti utama yang mewarnakan politik di negeri Sabah sebelum pembentukan Malaysia pada 16 September, 1963. Ia membentuk perikatan yang kukuh dengan parti UPKO (United Pasokmomogun Kadazandusun Organization) pimpinan Tun Fuad Stephens. Peranan utama ini terus dimainkan dalam rundingan dengan Persekutuan Tanah Melayu sehingga Sabah mencapai kemerdekaan daripada Great Britain dengan cara menyertai persekutuan Malaysia.



Perkembangan yang berlaku pada tahun 1975 memberikan kesan yang besar terhadap USNO. Setiausaha agung parti  Harris Salleh (sekarang Tan Sri) telah keluar partidan seterusnya bergabung dengan UPKO untuk menubuhkan parti baru yang kemudiannya dikenali sebagai Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA). Parti baru ini telah berjaya menewaskan USNO pada pilihanraya negeri 1976 dan memerintah negeri Sabah sehingga 1985.

Peristiwa berkenaan walau bagaimana pun tidak mematikan USNO. Parti ini terus hidup dan terlibat di dalam semua pilihanraya umum negeri pada 1981, 1985, 1986, dan 1990. Di dalam tempoh berkenaan USNO tetap bertahan di kubu-kubu kuatnya namun tidak mampu untuk membentuk kerajaan.

Pada perkembangan yang lain iaitu pada tahun 1990, pemimpin-pemimpin USNO telah bergabung dengan parti BERJAYA dan sepakat untuk mengundang UMNO untuk memperluaskan kuasa ke negeri ini dengan Tun Mustapha sebagai pengerusi pertama UMNO Sabah. Berikutan keputusan ini, USNO telah dibubarkan untuk memberi laluan dan bergabung dengan UMNO pada tahun 1991.

No comments:

Post a Comment